Make your own free website on Tripod.com

Moto


       

MAJU SEMPURNA dapat ditakrifkan sebagai usaha untuk memajukan diri dalam bidang pelajaran disamping usaha untuk meninggikan tamadun iaitu peradaban dan taraf hidup agar ia lengkap dan tidak ada kekurangan serta melakukannya hingga selesai atau tamat dalam keadaan yang baik lagi teratur.

         MAJU SEMPURNA ialah satu keadaan apabila berjaya meningkatkan pencapaian dan kemajuan terhadap sesuatu perkara yang dicita-citakan tetapi dalam masa yang sama masih mengambil berat terhadap aspek-aspek lain seiring dengan kemajuan yang dicapai. Dalam erti kata lain, pendukung cogan kata MAJU SEMPURNA bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga aspek-aspek lain terutamanya aspek keagamaan, sahsiah, kepimpinan dan semangat patriotisme. Seiring dengan falsafah Sekolah Berasrama Penuh bahawa pendidikan adalah suatu usaha berterusan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna untuk memupuk dan memperkembangkan potensi dan prestasi para pelajar ke arah kecemerlangan dan membentuk insan dan warganegara yang seimbang rohani dan jasmani serta bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.

          Rasional di sebalik cogan kata MAJU SEMPURNA ialah usaha untuk menyediakan diri para pelajar dengan ketahanan fizikal dan mental serta memberi penekanan ke atas aspek-aspek penting seperti kecemerlangan ilmu, kemampanan sahsiah, kesejagatan kepimpinan dan kejituan patriotisme dan tidak hanya bergantung pada kejayaan akademik semata-mata. Hal ini kerana kita tidak mahu mendidik insan yang maju selangkah tetapi berundur beberapa langkah, maju pada kulit tetapi tidak sempurna pada isi, berjaya pada zahiriah tetapi gagal pada batiniah, terus terumbang-ambing dan tidak mempunyai matlamat yang jitu.

          Kendatipun, para pelajar yang intelek, berdisiplin, berdedikasi, berdaya usaha, bertanggungjawab dan mempunyai sahsiah yang mulia memerlukan contoh teladan yang baik supaya dapat bertindak sebagai model kepada masyarakat. Hal ini seiring dengan tuntutan Islam yang mahukan umatnya maju dalam segala aspek. MAJU SEMPURNA ialah usaha untuk melahirkan insan-insan kamil yang mampu menabur pada agama, bangsa dan negara. Kesepaduan dalam semua aspek penting bagi melahirkan insan yang maju dengan kesempurnaan.

 


Muka Depan | Kata-kata Aluan | Latarbelakang | Album | Nadi Penggerak | PIBG | Takwim | Akademik | Kokurikulum | Arkib | Pelajar | Kreatif | Unit Peperiksaan | Bekas Pelajar | Rangkaian | Webmaster |


Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, 72000, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Tel: +606-4811304 Fax: +606-4817137 smstjkp@hotmail.com