Make your own free website on Tripod.com


Dari Lipatan Sejarah

Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan (nama sebenar) merupakan cetusan idea Tun Hj. Abdul Razak b. Hussain, Perdana Menteri Malaysia seperti yang dilaporkan dalam Laporan Razak pada tahun 1970 sebagai salah satu cara untuk membangunkan orang-orang Melayu, terutamanya dalam bidang Sains dan Teknologi dan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini.

Pada 2 Januari 1973, seramai 109 orang pelajar lelaki dan 34 orang pelajar perempuan yang dipilih dari pelbagai sekolah di Negeri Sembilan telah dimasukkan ke sekolah ini. Sementara menunggu proses pembinaan sekolah ini selesai, para pelajar yang diambil telah ditempatkan buat sementara waktu di Sekolah King George V, Jalan Hose, Seremban. Asrama pelajar lelaki terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Jalan Channer manakala asrama pelajar perempuan pula terletak di Rumah Banglo Kerajaan yang lama di Jalan Hose. Sekolah ini bermula dengan 6 orang staf akademik yang diketuai oleh En. Abu Samah b. Katas.

Kesemua 143 orang pelajar ini terpaksa menghadapi pelbagai rintangan. Seawal umur 13 tahun, mereka menghadapi pelbagai masalah yang berkaitan dengan disiplin dan kemudahan yang serba kekurangan. Perkara ini menimbulkan masalah dalam proses penyusunan aktiviti dan kawalan untuk para pelajar.

Kemudahan pengangkutan merupakan masalah utama para pelajar kerana asrama mereka terletak jauh dari sekolah. Walaupun mereka dijanjikan dengan bas-bas sekolah daripada Sekolah Dato' Abdul Razak dan Sekolah Tunku Kurshiah, tetapi mereka tidak kisah. Pelajar lelaki sanggup berjalan sejauh 10 km pergi dan balik, setiap hari untuk ke sekolah. Oleh sebab itulah ramai pelajar lelaki yang datang lewat ke sekolah. Masalah ini akhirnya diselesaikan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Masalah bekalan air yang tidak mencukupi juga menghantui pelajar lelaki sehingga kadang-kala mereka terpaksa mandi di Sungai Temiang. Mereka turut menghadapi masalah bekalan makanan yang lebih kepada makanan tentera, kekurangan kemudahan proses pembelajaran semasa kelas persediaan, tidak mempunyai kemudahan rekreasi dan lain-lain lagi. Akhirnya, semua masalah yang mereka hadapi telah menjadikan mereka orang-orang yang bebas merdeka, yakin terhadap diri sendiri dan tabah menghadapi cabaran hidup.

Walaupun menghadapi pelbagai masalah, tetapi mereka tetap cemerlang dalam bidang akademik. Ini adalah berdasarkan pelbagai keputusan kertas peperiksaan daripada Sekolah Berasrama Penuh yang lain. Keputusan-keputusan ini meyakinkan lagi guru-guru bahawa mereka memang cemerlang walaupun menghadapi pelbagai masalah. Pada hujung tahun 1974, pengetua sekolah yang pertama telah dipilih. En. Mohd Hanif Idris memang kecil tubuh badannya tetapi masih berupaya untuk memikul tanggungjawab besar yang telah diamanahkan kepadanya. Pada awalnya, beliau tidak dihiraukan oleh para pelajar, tetapi setelah beberapa langkah drastik di ambil termasuklah menggubal peraturan sekolah, beliau mula ditakuti dan dihormati oleh para pelajar.

Pada sesi Januari 1975, para pelajar ini akhirnya dipindahkan bangunan sekolah sendiri di Kampung Gentam, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada tahun yang sama juga, para pelajar tingkatan empat yang baru telah diambil dari pelbagai sekolah menengah di Negeri Sembilan. Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan telah memberi dimensi yang baru dalam pencapaian akademik di kalangan sekolah-sekolah dan penduduk di kawasan Kuala Pilah. Bukan itu sahaja, sekolah ini juga dihormati kerana kejayaannya dalam bidang sukan.

Untuk menunjukkan kecemerlangan akademik mereka,sekolah ini ditabalkan sebagai sekolah yang cemerlang di dalam pencapaian SRP/LCE pada tahun 1975 dan SPM/MCE pada tahun 1976.Pencapaian sekolah ini dalam bidang sukan juga terserlah apabila sekolah ini menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Negeri pada tahun 1977. Sekolah ini juga mula menunjukkan taringnya di dalam sukan ragbi dan kriket, apabila kedua-dua sukan ini diperkenalkan di daerah Kuala Pilah, di bawah Trofi JG Briggs.

Pada tahun 1981, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Tuanku Jaafar bersempena perasmian sekolah ini oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar. Pada tahun yang sama juga menyaksikan sekolah ini dibuka secara rasmi oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar dan sejak daripada itu sekolah ini tidak pernah menoleh ke belakang semula serta terus mara ke hadapan. Sekolah Tuanku Jaafar juga terus menjulang namanya di arena sukan ragbi dan kriket.

Sekolah ini juga tidak pernah tergelincir dari haluannya untuk terus memajukan diri sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Memandangkan taraf pencapaian sekolah ini amat memuaskan, kemudahan-kemudahan serta prasarana-prasarana yang lain turut ditambah. Para pelajar turut mendapat kemudahan-kemudahan pembelajaran yang lain seperti perpustakaan baru yang mempunyai pelbagai jenis buku seperti buku-buku fiksyen, teknologi, seni, pembinaan, antropologi, teknologi maklumat, makmal komputer serta makmal sains yang diurus dengan baik. Untuk aktiviti sukan dan kokurikulum, sekolah ini memperkenalkan pelbagai jenis kelab dan persatuan. Antaranya ialah Kadet Bersatu Malaysia, Kadet Bomba, Puteri Islam, Persatuan Bahasa Inggeris, Kelab Ragbi dan lain-lain lagi.

Antara tiga puluh enam buah Sekolah Berasrama Penuh yang ada di Malaysia, Sekolah Tuanku Jaafar boleh berbangga kerana telah ditempatkan dalam lima sekolah terbaik dan telah dipilih sebagai salah satu daripada "Sekolah Bestari" di Malaysia. Pada tahun 1996 dan 1997, sekolah ini telah menerima anugerah "Sekolah Cemerlang" dan "Sekolah Harapan". Antara pencapaian dan anugerah lain yang diterima oleh sekolah ini termasuk Keputusan Peperiksaan SPM & PMR Terbaik pada tahun 1997, Anugerah Cemerlang Kokurikulum dalam Bidang Sukan pada tahun 1993 hinga 1997, Johan Cup Kejohanan Ragbi Antarabangsa KRM-Milo-MSSM dan Johan Kejohanan Ragbi MSSM 1994, Tempat Pertama dalam Kuiz Kenegaraan Negeri Sembilan dan menjadi Sekolah Harapan Negara pada tahun 1993. Dengan kejayaan yang begitu banyak, diharap sekolah ini akan dapat meneruskan kecemerlangan yang berterusan dan melahirkan generasi intelek dan berkemahiran tinggi.

 

       Carian Maklumat   |  Berita Semasa   |  Portal Utusan   |  Perbincangan   |  Belajar HTML   |

Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, 72000, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Tel: +606-4811304 Fax: +606-4817137 smstjkp@hotmail.com